Friday, August 15, 2003

Menentukan Cinta Kerana ALlah

Seringkala kawan bertanya pada orang2 di sekeliling kawan : Apa maksudnya cinta kerana ALlah? Cinta merupakan fitrah yang ada dalam diri kita....sudah menjadi sunnatullah...kita dikurniakan dengan perasaan cinta kepada seseorang. Dalam surah Aali 'Imran ayat 14, ALlah berfirman "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak ...." hingga akhir ayat. So tak salah kalau kita mencintai seseorang tapi perlulah berlandaskan lunas-lunas dan syariat Islam. Salah satunya ialah mencintai seseorang kerana ALlah....apa agaknya maksud mencintai seseorang tu kerana ALlah ye? Kawan selalu tanya....akhirnya di pagi Jumu'ah ni...kawan terjumpa jugak jawapannya dalam buku Bimbingan Mu'minin tulisan Imam al Ghazali. Like a friend said, "Jumu'ah has always been so beautiful and special" :)


Cinta yang hakiki yang didasarkan kerana ALlah semata mata ialah bila anda mencintai seseorang bukan kerana peribadinya, malah kerana kelebihan kelebihannya yang bergantung dengan keakhiratannya. Misal cinta ini ialah :

seseorang yang mencintai gurunya sebab menerusi guru itu ia akan memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memperbaiki amalannya. Sedang tujuan utama dari menuntut ilmu pengetahuan dan amalan yang baik itu ialah keselamatan diri di akhirat. Inilah yang dikatakan antara contoh-contoh cinta kerana ALlah semata-mata

Misal yang lain ialah: Seorang guru mencintai muridnya, sebabnya kepadanya guru itu dapat menurunkan ilmu pengetahuan dan dengan sebab itu pula guru itu memperoleh pangkat seorang pendidik atau guru. Orang ini juga, dikira cintanya kerana ALlah semata-mata

Begitu pula orang yang bersedekah dengan harta bendanya kerana menuntut keredhaan ALlah, atau orang yang suka mengundang tetamu di rumahnya lalu menghidangkan berbagai bagai makanan yang lazat semata mata kerana ingin mendekatkan diri kepada ALlah Ta'ala. Kemudian lahirlah dalam diri orang itu perasaan kasih sayang dan kasih terhadap tukang masaknya kerana kemahirannya untuk menyediakan makanan makanan yang lazat; cinta ini juga dikira sebagai cinta kerana ALlah

Misal lain lagi ialah misal seorang yang suka menyampaikan sedekah kepada orang orang yang memerlukannya maka perilakunya itu dikira sebagai cinta kerana ALlah juga. Ataupun orang yang mencintai pekerja yang membantu mencuci pakaiannya, membersihkan rumahnya dan memasak makanannya, yang mana dengan terlepasnya ia dari tugas tugas ini, senanglah ia dapat menuntut ilmu atau membuat pekerjaan yang lain sedang tujuan utama dari mempekerjakan orang itu semata mata kerana melapangkan diri untuk memperbanyakkan ibadat maka ia terkira pencinta kerana ALlah.

Begitu juga, jika ia mencintai seorang kerana orang itu mencukupkan keperluannya dari wang dan pakaian, makanan dan rumah dan lain lain keperluan yang mesti untuk kehidupan di dunia, sedang maksud orang yang menderma itu ialah supaya ia dapat melapangkan diri untuk menuntut ilmu pengetahuan yang berguna sambil melakukan amalan amalan yang mendekatkan diri kepada ALlah Ta'ala maka cintanya itu dikira kerana ALlah Ta'ala jua.

Segolongan para Salafus Saleh yang terdahulu, sering segala keperluannya ditanggung oleh hartawan hartawan yang murah hati. Jadi di dalam hal ini, kedua dua pihak tergolong pencinta pencinta yang mencari keredhaan ALlah Ta'ala

Juga jika seseorang itu menikahi seorang wanita yang solehah untuk melindunginya dari godaan syaitan, serta memelihara agamanya, atau untuk menginginkan seorang anak yang saleh dari pernikahan itu, ataupun dia mencintai isterinya kerana menerusinya ia dapat sampai kepada tujuan tujuan yang suci, seperti misal misal yang disebutkan dia atas tadi, maka ia adalah seorang pencinta kerana ALlah Ta'ala

Demikian pula, jika seseorang itu dalam hatinya tersemat cinta kerana ALlah dan dunia, seperti seorang yang mencintai guru yang mendidiknya lalu ia pun mencukupkan segala keperluan guru itu di dunia dengan wang dan sebagainya maka ia dikira orang yang mencintai kerana ALlah

Seterusnya bukanlah dari syarat syarat cinta kerana ALlah itu, ia mesti meninggalkan semua nasibnya dari harta kekayaan dunia sama sekali sebab para Nabi Salawatullahi 'alaihim sering menyeru kita berdoa agar ALlah s.w.t mencukupkan kedua dua keperluan dunia dan akhirat.

"Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat" (al-Baqarah ayat 201)

Juga dalam doa yang ma'tsur berbunyi

"Ya ALlah ya Tuhanku. Sesungguhnya aku memohon daripada-Mu kerahmatan yang dengannya aku boleh memperoleh pangkat kehormatan-Mu di dunia dan di akhirat"

Bila kecintaan seseorang kepada ALlah telah menjadi kukuh, nescaya akan muncul dalam wataknya perasaan suka membantu dan menolong, serta mengutamakan orang lain dari diri sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya dari harta, jiwa dan nasihat yang baik.

Dalam hal ini manusia adalah berbeza, menurut perbezaan darjat kecintaannya kepada ALlah azzawajalla. Ia akan dicuba dalam kecintaannya itu dengan pelbagai percubaan yang berkaitan dengan kepentingan dirinya, sehingga ada kalanya semua kepentingan itu sudah tidak ada yang tinggal lagi, semuanya telah dibelanjakan bagi kepentingan orang yang dicintainya itu. Terkadang ditentukan sebahagian untuk diri sendiri, manakala yang lain diberikan kepada orang orang yang dicintainya

Tidak kurang juga, orang yang membahagikan harta kekayaannya kepada dua, satu bahagian untuk dirinya dan satu bahagian lagi untuk kekasihnya, ada yang memberikan sepertiga dari harta kekayaan dan ada sepersepuluh dan seterusnya. Banyak atau sedikit wang yang dibelanjakan itu bergantung pada rasa cintanya terhadap orang itu, sebab tidak dapat ditentukan darjat cinta itu, melainkan dengan kadar harta yang dibelanjakan kepada para kekasihnya. Maka barangsiapa hatinya telah dipenuhi oleh rasa cinta kerana ALlah, tidak ada benda benda lain yang masih dicintakan lagi, selain dari cintanya kepada ALlah semata mata. Ketika itu ia tidak akan meninggalkan sesuatu benda pun dari harta kekayaannya melainkan semuanya dibelanjakan kerana ALlah s.w.t

Dengan itu disimpulkan, bahawa sesiapa yang mencintai seorang alim atau 'abid, ataupun dia mencintai penuntut ilmu pengetahuan atau orang yang sepanjang masanya beribadat atau membuat kebaikan, maka yakinlah bahawasanya ia mencintainya itu kerana ALlah dan untuk ALlah, dan tentulah ia akan mendapat ganjaran pahala dan kurnia dari ALlah Ta'ala menurut kadar kekuatan cintanya itu.

Dipetik dari buku "Bimbingan Mu'minin" tulisan Imam Ghazali

Kata kawan... kawan suka tengok/cari/dekati sahabat-sahabat yang alim/warak sebab banyak ilmu dapat dari dia, juga boleh menegur di kala kita tersilap, ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi, adakalanya dia kasi kita minyak wangi sebotol, adakalanya kita beli minyak wangi dari dia, adakalanya terpalit bau wangi tu pada kita. Semoga cinta ini hanya untuk-Mu ya Rabb al-Wadud

No comments: