Tuesday, August 12, 2003

Asas asas perkahwinan

Asas asas dan prinsip perkahwinan yang terpenting

1. Bertujuan baik

Agama islam sangat sangat menghendaki agar tujuan utama daripada perkahwinan itu ialah menyempurnakan agama, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang berbunyi

"Barangsiapa yang dianugerahkan oleh ALlah seorang isteri yang solehah, maka sesungguhnya Dia telah menolongnya menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka hendaklah ia bertaqwa kepada ALlah dalam yang separuh lagi"

dan di dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w pernah bersabda

"Bilamana seorang hamba ALlah itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka hendaklah ia bertaqwa kepada ALlah dalam yang separuh lagi" - Hadith riwayat at Thabarani dan at Tirmidzi

Begitu juga agama Islam sangat sangat menghendaki agar perkahwinan itu menjadi faktor utama dalam memelihara kemurnian jiwa dan kesuciannya serta menjadi tujuan yang mendorongkannya ke jalan ketaatan dan keluhuran budi pekerti

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w

"Wahai sekalian pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu mengeluarkan biaya hendaklah ia berkahwin. Tetapi sesiapa yang tidak terdaya, maka hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu boleh mengurangkan desakan nafsu" - Riwayat Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah s.a.w

"Ada tiga manusia yang wajib atas ALlah memberikan pertolongan kepadanya: Mujahid pada jalan ALlah, hamba sahya yang mencari duit buat membebaskan dirinya dan orang yang berkahwin dengan tujuan memelihara dirinya (daripada kebuasan nafsu)" - Hadith riwayat at Tirmidzi

Selain dari itu, Islam juga sangat sangat menghendaki agar perkahwinan itu dimaksudkan untuk membangun keluarga Islam supaya menjadi batu bata dan asas yang teguh dalam bangunan masyarakat Islam. Al Quran menganggapkan hal ini sebagai salah satu impian para Mukmin di mana ia mensifatkan mereka dengan maksudnya:

"Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. " (al-Furqan ayat 74)

2. Pemilihan yang baik

Yang mula mula sekali ditekankan oleh Islam dalam hubungan ini ialah memilih teman hidup yang baik. Pemilihan yang baik ini dianggap oleh Islam sebagai salah satu faktor yang membawa kepada terlaksananya kehidupan suami isteri secara Islam, sebagaimana ianya juga di antara faktor yang boleh membawa kepada kemesraan dan keserasian di antara pasangan berkenaan itu. Sabda Rasulullah s.a.w

"Pilihlah jodoh kamu kerana perangai ibu bapa itu akan turun kepada anak anak"

Meskipun kita akur tentang payahnya didapati Gadis Muslimah di dalam masyarakat kita dewasa ini, namun dengan pemilihan yang baik itu akan dapat ditemui wanita wanita yang betul betul dikehendaki itu, namun kita tidaklah pula menafikan wujudnya wanita wanita yang mempunyai persediaan untuk menjadi wanita seperti itu.

Islam menekankan akhlaq dan agama sebagai syarat yang asasi bagi pemilihan teman hidup yang baik dan mmeberi amaran terhadap akibat buruk yang mungkin berlaku jika pemilihan itu didasarkan di atas kecantikan, harta dan keturunan. Dalam hal ini Islam menyatakan bahawa keindahan budi pekerti adalah lebih kekal daripada kecantikan rupa paras. Dan kekayaan jiwa itu adalah lebih mahal harganya daripada kekayaan harta benda. Sebab itu Rasulullah s.a.w pernah bersabda

"Janganlah kamu kahwini wanita lantaran kejelitaan mereka, mungkin kejelitaan itu akan membinasakan mereka. Dan janganlah kamu kahwini mereka lantaran harta benda mereka, mungkin harta benda itu akan memusnahkan mereka. Tetapi kahwinilah mereka berdasarkan agama. Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama"

Namun alangkah baiknya jika ada pada seseorang perempuan itu keindahan hati dan tubuh badan sekali. Inilah wanita yang sebaik baiknya kerana Nabi s.a.w pernah bersabda

"Sebaik baik wanita kamu ialah perempuan yang bila dipandang oleh suaminya akan menyukakan hatinya. Bila ia (suami) menyuruhnya (melakukan sesuatu) ditaatinya. Dan bila ia tidak ada dari sampingnya, ia memelihara kehormatan dirinya dan harta bendanya" - Hadith riwayat Ibnu Majah

Ini haruslah diingat oleh saudara saudara yang mengutamakan rupa bentuk lahiriah dan harta kekayaan daripada sifat sifat kemuliaan dan ciri ciri utama seseorang wanita. Hendaklah mereka mematuhi suruh perintah Islam dan melawan keinginan keinginan syaitan di dalam jiwa mereka. Hendklah mereka menyahut seruan ALlah yang berbunyi

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui" (an-Nur ayat 32)

Kemudian hendaklah mereka mengambil pengajaran dari pada sabda Nabi s.a.w.

"Barangsiapa mengahwini perempuan kerana kemuliaannya, ALlah tidak akan menambahkannya melainkan kehinaan. Barangsiapa yang mengahwininya kerana hartanya, ALlah tidak akan menambahkannya melainkan kemiskinan. Barangsiapa yang mengahwininya kerana keturunannya (yang kenamaan), ALlah tidak akan menambahkannya melainkan kerendahan. Tetapi barangsiapa mengahwini seorang perempuan hanya kerana hendak merendahkan pandangan matanya dan memelihara kemaluannya ataupun kerana hendak menghubungi silaturrahim, ALlah pasti akan mencurahkan keberkatan ke atas kedua dua suami isteri itu pada diri masing masing." - Hadith riwayat at Thabarani.

Dipetik dari buku Tribulasi Perjuangan tulisan Ust. Fathi Yakan

No comments: