Tuesday, August 04, 2009

KENYATAAN MEDIA KETUA DEWAN PEMUDA PAS SELANGOR BERHUBUNG ISU ARAK DAN MINUMAN KERAS DI SELANGOR.

KENYATAAN MEDIA
KETUA DEWAN PEMUDA PAS SELANGOR
BERHUBUNG ISU ARAK DAN MINUMAN KERAS DI SELANGOR.

Tarikh : 3 Ogos 2009

Dewan Pemuda PAS Selangor menyokong penuh tindakan MBSA yang mengambil tindakan terhadap premis perniagaan yang menjual bir atau minuman keras di kawasan komuniti Melayu Islam. Kita meyakini bahawa tindakan mereka adalah berdasarkan bidangkuasa yang ada dan desakan komuniti Melayu di MBSA yang mahu penjualan arak atau bir di kawal dengan serius di tempat dan kawasan mereka.

Kami juga mengharapkan pihak negeri dapat segera menyelaraskan arahan dan tindakan tersebut di seluruh PBT supaya tidak wujud arahan atau tindakan secara persendirian oleh mana-mana EXCO.

Kami juga mendesak supaya Undang-Undang Syariah Negeri Selangor yang telah sedia ada berkaitan arak atau minuman keras yang membabitkan hanya orang Islam di Selangor dikuat kuasakan secara serius oleh Kerajaan Negeri.

Kita juga bersetuju dengan cadangan yang mahu supaya satu pentakrifan baru terhadap minuman keras diberikan untuk kebaikan masyarakat secara keseluruhan. Pihak kami akan menyampaikan memorandum berkaitan isu ini kepada pihak Kerajaan Negeri.

Tujuan dan hasrat kita menyatakan perkara ini adalah untuk menjaga kepentingan dan kebaikan orang Melayu Islam dan kita mengharapkan semua pihak dapat memahami dan bekerjasama ke arah tersebut dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan dan tidak menghormati kehendak masyarakat Melayu Islam.



USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Selangor

KENYATAAN MEDIA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR BERHUBUNG ISU ARAK

KONTROVERSI ISU ARAK DI SELANGOR

PENDAHULUAN


Meminum arak ataupun minuman beralkohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada si peminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.

Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
(al Maidah: 90)

Nabi Muhammad S.A.W pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:

(1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)


ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.

Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.


TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan UMNO Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

Monday, April 20, 2009

Buat Duit Dengan Adsense

Alhamdulillah dah lebih setahun kawan terlibat dengan perniagaan adsense ni, nampaknya promising juga result dia. Itupun kawan tak buat betul-betul. Buat betul-betul tu maksudnya menggunakan segala teknik dan kerja berat yang diperlukan untuk memastikan income dari adsense ni mencapai ribu-ribu USD sebulan.

Orang selalu tanya betul ke Adsense ni boleh buat duit. Jawapan kawan: Daun serai daun gaharu, belum terai belum tau. Try la dulu, insyaAllah ada hasilnya asalkan kita rajin buat kerja. Mana ada duit free bro! Nak masuk syurga, ada syarat-syaratnya. Nak jadi kaya pun ada syarat-syaratnya. Duduk terkangkang je layan Astro memang la tak dapat

Kalau yang dah start adsense tapi tak dapat hasil yang menyedapkan, ni yang kawan nak share pengalaman kawan kat sini. Mengikut pengalaman kawan, satu benda yang paling penting selain dari pengubahsuaian yang kita buat kat blog kita, the most important thing is to get BACKLINKS

Apa itu backlinks?

Backlinks ni merujuk pada segala pautan yang menuju ke blog kita. Contohnya kata la utusan.com.my letak kat tepi website dia 'Sila la melawat ke blog abuhandzalah kalau nak tau cara buat duit dengan adsense'. Maka disebabkan dia letak link ke blog abuhandzalah, blog abuhandzalah pun dapat satu backlink. Ada paham? Begitu jugak kalau blog saifulislam.com tulis kat tepi blog tu 'Pelajari tips buat duit dengan adsense di blog abuhandzalah', maka dapat la kawan satu lagi backlink disebabkan ada link dari saifulislam.com ke sini.

Kenapa backlinks itu penting?

Backlinks boleh menjadi kayu ukur tentang betapa 'relevant'nya blog atau website kita. Google mesti la ada satu algorithm macam mana dia nak tentukan website apa yang patut keluar sekiranya kita search 'Buat duit dengan adsense'. Jadi salah satu caranya ialah dengan melihat pada backlinks yg terdapat pada satu-satu website tu. Kata la blog abuhandzalah ni, ramai orang linkkan ke sini dengan kata kunci 'buat duit dengan adsense' (macam contoh di atas). Maka google boleh nampak yang blog abuhandzalah ni memang nampaknya sangat berkait rapat dengan topik 'buat duit dengan adsense'. Mana taknya, utusan pun promote, saifulislam pun promote, dah tentu blog abuhandzalah ni memang sah citer pasal buat duit dengan adsense.

Lalu apabila anda search di Google, mungkin blog abuhandzalah yang teratas sekali dalam search result, disebabkan banyaknya backlinks yang menyebut 'buat duit dengan adsense' yang menuju ke blog abuhandzalah.

Peringatan: Kuantiti bukanlah penentu segalanya. contohnya katalah backlinks anda ada 10,000 tapi semuanya dari website2 yang tidak berkaitan dengan blog anda, ataupun website yang takde authority (akan diceritakan lenkali), ataupun backlinks tu datang dari blog yang mempunyai pagerank 0 (kosong), maka 10,000 backlinks pun belum tentu dapat mengalahkan blog yang backlinks nya ada 400 je katakan.

Jadi pastikan anda dapatkan backlinks dari website yang power2, yang pagerank nya tinggi (2 ke atas), baru la berbaloi. InsyaAllah cepat je blog anda naik ranking. Dan bila blog anda keluar di page nombor 1 dalam Google punya search result, ramai la orang yg bertandang ke blog anda. Makin ramai datang, makin tinggilah kebarangkalian pengunjung tersebut klik ads anda

Sunday, April 19, 2009

Lagu Handzalah, Lagu Fidaa', Lagu Ummi.....Abi?

Haritu sebelum tidur, Ummi ada bagitau Fidaa' dengan Handzalah yang diorang ada lagu sendiri.

Lagu Fidaa' - lagu Islami Ya Quds nyanyian Shoutul Harakah. Kenapa lagu tu lagu Fidaa'. Sebab dalam lirik dia kan ada sebut, 'Islami ya qudsu inna lil fidaa'

Jadi itu la lagu Fidaa'. Wah sukanya Fidaa' bila tau ada lagu sempena nama dia. Lalu selalulah Fidaa' mintak dinyanyikan dengan lagu tu sebelum tidur

Handzalah pun tanya, lagu Handzalah camne pulak.

Hehe itu senang je. Lagu tulah yang memberi inspirasi pada Abi untuk menamakan Handzalah tu Handzalah even before Abi mengenal Ummi lagi. Lagu Handzalah sudah semestinya Handzalah nyanyian Rabbani. Maka Abi pun kena la jugak menyanyikan lagu Handzalah sebelum nak tidur

Pastu Handzalah tanya, lagu Ummi pulak? Lagu ummi punya la banyak, tapi kitorang pilih lagu Ummi nyanyian Haddad Alwi (rupanya Haddad Alwi ni orang indonesia, ingatkan orang Arab...huhu Abi baru tau). Maka lepas nyanyi lagu Fidaa' dengan Handzalah, ada permintaan pulak nak nyanyi lagu ummi, lalu nyanyilah jugak lagu Ummi

Tiba-tiba bila sampai pada Abi, Handzalah pun tanya lagu Abi pulak?

Err....

semua terdiam....

Nampaknya belum ada lagi kot lagu Abi..huhuhu. Pasni kena mintak Ummi la buatkan lagu untuk Abi. Abi kan ada buat lagu untuk Ummi, skang ni giliran Ummi pulak nampaknya ;)

Wednesday, February 11, 2009

Jawapan Ir Nizar Terhadap Isu Tanah di Perak

Assalamualaikum
Kepada semua yang telah memberi komen tak kira manis ke pedas, kutuk
ke puji ke,dsbnya, saya ambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan
jutaan terima kasih kerana sudi kunjung dan beri komen serta kritikan.

Sebenarnya dalam mesyuarat exco kerajaan PR Perak ini ada di hadiri
oleh 3 orang pegawai kanan yang cukup berpengalaman sebagai Ex-Officio.
Ini dibuat bagi membimbing serta menasihati semua ahli MMK supaya
tidak buat keputusan yang berlanggaran atau bercanggah dengan setiap
perundangan dan ketetapan negara dan negeri.

Oleh yg demikian setiap keputusan yang dibuat adalah melalui proses
yang menyeluruh dan merujuk kepada mereka.

Kedua ,Semua ketua jabatan teknikal negeri memberi komen dan input
tentang setiap permohonan terutama hal ehwal tanah, perlombongan,
pelaburan dsbnya. Mereka juga akan menasihati jemaah exco dalam
membuat keputusan.

Ketiga, setiap kali sebelum bermesyuarat exco, semua kertas baru
untuk kelulusan atau penolakan akan dipersembahkan kepada kebawah Duli Yang
Maha Mulia
Paduka Seri Sultan Perak atau Raja Muda , Raja Dr Nazrin
Shah. Lagipun, setiap keputusan yang dibuat pada mesyuarat exco
sebelumnya juga akan dibentang minitnya kepada DYMM Sultan.

Tohmahan sahabat mengenai "gadai tanah" kpda Cina atau seumpamanya
tidak berasas sama sekali dan hanya menunjukan kurang hemah serta bijak
dalam membuat dakwaan tersebut. Sekali gus memperkecilkan kewibawaan semua
institusi kerajaan yang terlibat.

Untuk pengetahuan semua, saya ingin menyatakan sedikit maklumat yang
mana puluhan ribu ekar tanah kerajaan serta tanah rizab melayu yang
di gadai dan dijual kepada kaum lain oleh kerajaan terdahulu sebagaimana
UMNO menggadaikan Singapura, Pulau Pinang, Batu Putih, Sebahagian
Pulau di Langkawi atau Pulau Pangkor Baru.

Sebahagian tanah kerajaan dan rizab melayu yang melayang ketangan
cina akibat kecerdikan kerajaan terdahulu ialah:

1. 22,000 ekar ( Ya! Dua Puluh Dua RIBU ekar) tanah kerajaan di gadai
kepada gergasi KLK di Lekir, Manjung.

2. 5,000 ekar di Bruas

3. 1500 ekar kepada MCA di Bandar Baru , Kampar (UTAR)

4. 12,000 ekar kepada semua petani cina di Coldstream , Bikam, Bidor

5. Dan banyak lagi jumlah kecilan diseluruh negeri.

6. 200 ekar tapak kilang simin Perak Hanjoong (sekarang YTL kerana di
gadai oleh pemimpin UMNO kepada YTL! ) Ini ntanah rizab melayu di
Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Hiway!

Kerajaan PR berjaya menghentikan penggadaian tanah kerajaan di
beberapa lokasi komersial ditengah bandar ipoh, taiping, bidor , kinta, dan
Perak Tengah pada pertengahan bulan Mac 2008, tarikh kerajaan PR ambil
alih,oleh kerana tanah tersebut telah dijanjikan kepada towkay- towkay
jika sekiranya BN kembali berkuasa pada 9 Mac 2008 (selepas PRU-12).

Sebenarnya penganugerahan hak milik selamanya kepada 102,000 lot
kampong tersusun (kebanyakan melayu), 47,000 lot kampong baru (kebanyakan
cina) dan sebilangan kecil kampong adat (orang asli), adalah janji PAS
dalam manifesto PRU-12.Bukan janji DAP!. DAP tiada manifesto ketika itu di
Perak.

Seandainya semua keluarga kampong baru (47,000) menerima anugerah hak
milik selamanya, ianya hanya melibatkan sejumlah tanah tak lebih dari
3000 ekar . Ya! tak lebih tiga ribu ekar. Oleh kerana tanah lot di
kampong baru jauh lebih kecil saiznya. Kerajaan akan memperolehi
tanmbahan revenue (oleh kerana kenaikan kadar premium tanah )
sejumlah RM330 juta. Nilaian tanah akan menjadi RM1.6 billion dipasaran dan
tanah tersebut boleh disandarkan ke bank komersial oleh tuan milik jika di
tukar kepada hak milik selamanya. Mereka boleh buat pinjaman dan
membina rumah yang kekal dan cantik kerana tiada kebimbangan tanah mereka
akan dirampas dimasa akan datang. Ini cuma kampong baru, belum lagi
kampong tersusun!

Cuba bandingkan dengan jumlah keluasan tanah yang digadai oleh
kerajaan dahulu.! Kerajaan Perak tiada dapat apa-apa bahkan kerugian
berjuta-juta dan putih biji mata kita orang melayu sebagaimana melihat "kecerdikan
" pimpinan UMNO gadai Singapura, Penang dll.

Saya amat berharap menghebahkan perkara sebenar kepada rakyat Perak
khususnya kaum saya orang melayu, akan pengkhianatan pimpinan UMNO
sewaktu mereka berkuasa dahulu.Namun hajat ini tidak kesampaian
kerana TM Radio Perak FM tak bagi kerana di milik UMNO, (agaknya!).

Friday, February 06, 2009

Perak - Demo Kasi bukan Demokrasi

Bila kawan tengok keadaan di Perak, teringat waktu Guru Utama Silat Cekak Hanafi, abang Md Radzi Hanafi dilucutkan jawatan atas tuduhan mencabul kehormatan dan digantikan oleh Guru Utama yang baru, walaupun di pihak yang menyokong abg Mat mengatakan perlantikan baru tersebut tidak sah kerana pelbagai sebab yang kawan pun dah lupa. Walaupun begitu, di mata umum, guru utama yang barulah memang guru utama yang sah, namun di mata mereka yang yakin dengan kredibiliti abg Mat, abg Mat masih lagi guru utama.

Di Perak pun begitu sekarang. Di mata kebanyakan rakyat Malaysia, Dato Dr Zambry ialah MB perak yang baru. Namun di mata penyokong Pakatan Rakyat Dato Seri Nizar masih lagi MB kerana perlantikan MB yg baru dibuat secara tidak sah. Anda di pihak yang mana? Siapa yang sah agaknya? Siapa yang ada kuasa mengesahkan? Kuasa pengesahan siapa yang anda mau pakai?

Kawan sebenarnya tak puas hati dengan cara BN dapat kembali Perak. Lompat parti boleh dapat majoriti lalu dapat mandat untuk bentuk kerajaan? Apa ni? Apa gunanya kita beratur untuk mengundi setiap 5 tahun sekali? Apa gunanya mengundi di pilihanraya jika kesudahannya parti yang sudah mendapat majoriti tiba-tiba tidak boleh memerintah akibat hilang majoriti dek kerana lompat parti. Jika begini tak payah pilihanrayalah. Biar satu-satu negeri itu, PM lantik 50% adun BN, 50% adun pakatan rakyat. atau jika mahu beri peluang pada calon bebas, buatlah 33% BN 33% PR 33% Bebas. Kemudian lobi dan lobilah sepuas hati sehingga ada calon yang lompat melompat parti dan akhirnya dapat majoriti lalu boleh bentuk kerajaan. Kalau takde yang lompat parti dalam tempoh 10 hari, maka kena buat kerajaan campuran

Kalau tidak, berikan alternatif lain pada kawan. Kawan dah tak idea lain. Mana taknya, apa yang berlaku di perak seolah-olah tidak memberi peluang pada rakyat memilih. Apabila lompat parti diamalkan, apa ertinya undi rakyat selama ini? macam sampah! Kawan memang tak gemar dengan idea lompat parti sejak dari dulu sampai zaman DSAI ajak MP BN lompat ke PR dan akhirnya (benarkah ini akhirnya) sampailah apa yang terjadi di Perak. Lain yang rakyat undi, lain pulak jadinya. Rakyat majoritinya mengundi PR pada PRU12, tapi tak sampai setahun BN yang dapat dek kerana lompat parti. Dan malangnya, apabila ada yang melompat parti, rakyat tidak diberi peluang sekali lagi untuk 'mengizinkan' perkara itu berlaku. maknanya mungkin rakyat tidak mahu adun PKR itu lompat ke BN atau ke Bebas, tapi tiada siapa yang mahu dengar suara rakyat itu. Ianya dibenarkan, tak tahulah dibenarkan oleh perlembagaan atau dibenarkan oleh Sultan atau dibenarkan oleh PM atau siapa.

Mungkin rakyat masih lagi mahu PR memerintah di perak, maka cara untuk mengetahuinya ialah dengan mengadakan pilihanraya. tak kisah lah pilihanraya kecil di DUN terbabit, atau pilihanraya seluruh negeri Perak. Untuk apa? Untuk kita tahu, adakah perbuatan ADUN lompat ini direstui oleh rakyat Perak. Kenapa mesti mahu tahu? Kerana rakyat sudah berpenat lelah berkempen dan mengundi untuk calon pilihan mereka. Rakyat sudah memilih pemimpin mereka secara majoriti, maka menjadi hak rakyat untuk menentukan apa yang patut dilakukan apabila ada ADUN yang lompat parti. Mungkin ramai yang mahu, mungkin ramai yang tak mahu. Kita tak tahu. Bagaimana mahu tau? Pilihanraya lah!

Malang sekali, itu tidak berlaku. Suara rakyat, suara keramat. Namun jika yang memegang kuasa tidak memberi peluang kepada rakyat untuk memperdengarkan suara mereka, tinggallah suara itu di masjid-masjid, di kedai-kedai kopi atau di dalam rumah di depan komputer sahaja. Keramatnya tinggal macam keramat di busut-busut dan kubur-kubur ala khurafat orang dulu kala. Macam power tapi sebenarnya takde power.

Itulah realitinya di Malaysia kini. Sedih kawan melihatnya. Bagi kawan, kalau BN nak berkuasa, tak payahlah guna cara lompat parti. Begitu juga PR, kawan tak setuju PR dapat kuasa cara lompat parti, tak kisahlah di peringkat negeri atau persekutuan. Tak gentlemanlah cara ini. Itu ibarat bermain tanpa peraturan. Apa itu sistem demokrasi kalau begini permainannya. Kalau begini tak perlulah kita jaja ke sana kemari yang kita amalkan demokrasi. Kawan belajar juga prinsip-prinsip demokrasi, dan ini sudah tentu bukan prinsipnya. Kawan tak tahu apa namanya.

Demo Kasi kot! Demo kasi ADUN lompat, kawe tak buleh nak kata tidak. Demo kasi BN perintah melalui lompat parti, kawe nak engkar nanti dikata menderhaka. Demo kasi MB baru naik, kawe tak suka pun demo buat jugak. Semua ikut apa yang demo kasi ajelah.

Jangan prinsip Demo Kasi ala Perak ni tersebar di negeri-negeri lain di bawah naungan PR sudah la. nak muntah kawan tengok, macam penakut pun ada, macam tak gentleman pun ada. Menang pertandingan yang tak ada pengadil dan tak ada pemain lawan. Memanglah menang!