Thursday, December 14, 2006

Sleepy Handzalah

Handzalah baru bangun tidur. Masih lagi mendakap tilam dan selimut, belum berapa nak bangun lagi pun agaknya. Anak abi ni memang suka posing. Kali ni dia buat gaya-gaya manja dia pulak. Semoga terus membesar dengan iman

Wednesday, May 24, 2006

Flickr

This is a test post from flickr, a fancy photo sharing thing.

Thursday, January 05, 2006

Perbezaan pendapat ulama' : Kritikan atau kutukan?

Kebelakangan ini kawan sering terbaca-baca di medan maya ini tentang artikel-artikel yang hebat mengkritik ulama' terdahulu mau pun yang kontemporari, sama ada yang telah wafat maupun yang masih hidup. Ada yang mempunyai asas dan adab dalam mengkritik, tapi tak kurang juga yang penuh dengan fitnah, tanpa asas dan rujukan yang kukuh serta hilang adab-adab sebagai seorang muslim dalam menegur, apatah lagi adab menegur atau mengkritik seorang 'alim.

Seorang 'aalim atau jama'nya ulama' itu, hendaklah kita menerima dirinya sebagai seorang manusia biasa, tidak lebih dari itu. Dan sebagai manusia biasa yang mempunyai perilaku seorang manusia, pasti tidak akan terbebas dari sebarang kesilapan. Maka tidak patut wujudnya segolongan manusia yang terlalu taksub kepada seorang 'alim hinggakan tidak mempercayai sebarang kritikan atau teguran yang diberikan kepada 'alim tadi, bahkan sanggup memutar belit dalil agar ulama' pujaan mereka itu tetap bebas dari sebarang kesilapan.

Dari sudut yang lain pula, tidak patut wujudnya segolongan manusia yang dalam rangka dan cita-citanya untuk menegur, bertukar menjadi mengutuk, memfitnah atau mengaibkan ulama' tersebut dengan cara-cara yang tidak kena dengan adab kita berinteraksi dengan seorang 'alim. Kita akui kesilapan ulama' tapi akhlaq kita sebagai seorang mukmin hendaklah sentiasa dijaga. Jangan sampai kita mengkritik peribadinya, mengkritik mengikut emosi dan ketaksuban, mengkritik dengan tidak akademik, tanpa nas-nas dan dalil-dalil yang kukuh, tanpa mengikut pendapat ulama' muktabar, hanya berdasarkan hawa nafsu semata-mata. Kalau ada kesilapan dalam penulisan, tegurlah penulisannya berdasarkan hujah2 yang jelas, dan bukan peribadinya.

Kawan suka membawa contoh apa yang berlaku kepada al-Imam al-Ghazali dalam bulan-bulan yang sudah. Di dalam Majalah al Islam, Astora Jabat dengan lantangnya menghamburkan beberapa macam tuduhan dan hukuman terhadap Imam Ghazali, hingga mengatakan Imam Ghazali berdosa besar kerana mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina! Mengkritik sedemikian tanpa hujah2 yang kukuh dan adab2 sebagai seorang mukmin merupakan satu jenayah ilmiah yang seringkali dilakukan oleh penulis-penulis dewasa ini, tanpa sebarang hormat pada ketinggian ilmu dan taqwa ulama' tersebut. Laman web saifulislam.com ada menjawab pertuduhan astora jabat ini.

Dalam kes yang lain pula, kita seharusnya berlapang dada dalam masalah hadith-hadith dhaif dan maudhu' yang terkandung di dalam kita Ihya' Ulumuddin tulisan Imam Ghazali. Ini dinyatakan oleh Ibn Kathir, Ibnul Jauzi, Az-Zahabi dan juga ulama' lain dalam penulisan mereka antaranya al Bidayah wa al-Nihayah, Talbis Iblis dan Siyar 'Alam an-Nubala'. Kita menerimanya dan berbaik sangka dengan Imam Ghazali bahawa dia tidak meletakkan hadith2 tersebut dan menyebarkannya dalam keadaan dia tahu bahawa hadith-hadith tersebut adalah dhaif. Kesilapan ini kita akui dan terima, tanpa sedikit pun rasa taksub terhadap Imam Ghazali dan tanpa kurang sedikit pun rasa hormat terhadap ketinggian ilmu dan jasa-jasa Imam Ghazali. Namun kesilapan harus diperbetulkan, kena dengan caranya, bukan dengan menghukum dan mengkritik membabi buta tanpa asas. Di akhir-akhir hayat Imam Ghazali sendiri pun, beliau mendalami ilmu hadith dan menuntut ilmu Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui Hafiz 'Amr ibn Abi al-Hasan al-Rawasi, cuba untuk mengatasi kelemahannya dalam bidang tersebut. Maka seharusnya kita letakkan keadilan apabila kita membaca kitab Ihya' Ulumuddin, bukan dihapuskan terus! Malahan terdapat versi tahqiq (correction) yang telah dibuat oleh al-Hafidz al-Iraqi terhadap kitab Ihya' ini.

Sebenarnya bukan kitab Ihya' sahaja, malahan banyak lagi tulisan-tulisan ulama' yang mungkin secara tak sengaja, memasukkan hadith2 dhaif. Kawan sendiri pernah membaca beberapa buku tulisan ulama' Ikhwan seperti Fathi Yakan dan Mustafa Masyhur yang juga ada satu dua hadith dhaif di dalamnya. Tapi itu tidak sepatutnya kita jadikan tiket untuk merendah2kan ulama' yang muktabar dan banyak jasa mereka kepada ummah seluruhnya, apatah lagi mencampakkan tulisan mereka jauh dari rujukan. Jangan kerana silap yang sedikit, yang satu dua, menyebabkan kita menghilangkan seluruh jasanya dan menampakkan seolah-olah ulama' ini memang tak boleh pakai, fatwanya tersasar dan sebagainya. Dan dalam masa yang sama, jangan pula kerana kebaikan-kebaikan yang asing, kita mengangkat martabat musuh-musuh Islam dan pembenci ulama' seolah-olah mereka telah melakukan jasa sebesar gunung dan terhapusnya segala kejahatan mereka pada ummah. Kadang-kadang kita mengiktiraf seseorang itu tidak kena pada tempatnya. Ini yang selalu terjadi sekarang. Ulama' dikutuk, pengutuk ulama' disanjung. Mungkin ini sifir di akhir zaman.

Begitu juga dalam kes ulama' berselisih pendapat. Kawan suka membawa contoh bagaimana Sheikh Nasiruddin al-Albani berlainan pendapat dengan Dr Yusuf al-Qaradawi berkenaan hadith-hadith yang digunapakai oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al Halal wal Haram fil Islam (Halal dan Haram dalam Islam), hinggakan membawa kepada penulisan buku Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Halal wal Haram oleh al-Albani. Kita lihat dalam kes ulama' tidak sepakat tentang darjat sesuatu hadith itu, mereka tidak berbalah apatah lagi mengkritik individu tersebut. Al-Albani seorang 'alim menegur akan hadith2 yang digunakan oleh Dr alQaradawi dan al-Qaradawi juga menjawab dengan penuh adab sebagai seorang 'alim juga, tanpa sedikit pun terkurang rasa hormat terhadap kedua-duanya. Penjelasan al Qaradawi boleh dibaca dalam buku Fatawa Mu'asirah (Fatwa Kontemporeri) Jilid Ketiga (kalau tak silap). Ini akhlak yang sepatutnya diamalkan oleh semua orang Islam yang mengaku mukmin dalam kes berbeza pendapat dan dalam kes tegur menegur antara satu sama lain.

Terdapat sebilangan laman web yang boleh kawan katakan berlaku tidak adil apabila mengkritik sesetengah ulama'. Tidak adil di sini boleh mengandungi pelbagai maksud :

1) Tidak membawakan dalil-dalil yang sahih (alQuran dan hadith2 maqbul) dalam mengkritik ulama' tersebut
2) Tidak ada asas dalam tuduhan mereka
3) Tidak berpandukan pendapat ulama' yang muktabar bahkan berpandukan pendapat2 yang sangat asing
4) Mengkritik peribadi dan bukan penulisan (seandainya kesilapan dalam penulisan)
5) Hanya mengambil pakai pendapat mereka yang menghentamnya sahaja TANPA menyenaraikan pendapat mereka yang menyokongnya
6) Memfitnah dan mengemukakan hujah2 yang tidak benar (i.e point 1)

Pada kawan ini bukanlah adabnya dalam nak mengkritik ulama', jauh sekali menegur dan menegakkan kebenaran. Tindakan yang sebegini akan menghilangkan kredibiliti ulama' di mata orang awam. Adakah disebabkan kesilapan mereka yang sedikit, mereka diperlakukan sebegitu rupa hinggakan orang akan merasa sangsi untuk membaca SEMUA penulisan mereka dan sangsi untuk menerima SEMUA pendapat mereka lantaran daripada kritikan kita tadi. Ini sangat tidak adil! Mereka telah menggunakan setiap detik dalam hayat mereka untuk memperjuangkan Islam dan memartabatkan ilmu, tapi kita dengan sewenang-wenangnya menguburkan segala jasa-jasa mereka. Inilah jenayah ilmiah abad 21. Mentang-mentanglah mereka tidak dapat membela diri mereka sendiri lantaran ramai yang telah wafat, kita pula dengan sesuka hati kita, memburuk-burukkan mereka. Adilkah ini namanya?? Mungkin sebab itu 'penjenayah-penjenayah' ini bebas mengkritik kerana tahu ulama' yang dikritiknya tidak boleh menjawab balik. Tapi jangan kita lupa, akan ada orang yang akan membela maruah mereka dan ketinggian ilmu yang mereka perjuangkan. Jangan kita syok sendiri mengkritik tapi terkasima tak terkata bila dijawab balik oleh pembela kebenaran. Ingatlah kebenaran pasti akan timbul dan kebatilan pasti akan lenyap. Berlaku adillah dalam menilai ulama', jangan sampai menjadi 'penjenayah'!