Saturday, June 21, 2003

Hadith pilihan

Islam kembali asing

'An Abi Hurairah radhiallahu 'anhu qaala, qaala Rasulullahi Sallallahu 'alaihi wasallam bada'al Islamu ghariban wasaya'udu kama bada'a ghariban, fatooba lil ghurabaa'. (Sahih Muslim bisyarhin Nawawi)

Dari Abu Hurairah radhiallaahu 'anhu, dia berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali sebagaimana ia bermula (sebagai sesuatu yang) asing; maka berbahagialah bagi kaum ghuraba' (orang-orang yang asing tersebut)". [H.R.Muslim]

TAKRIFAN BAHASA

Lafaz ghariiban ; yang merupakan kata terbitan dari lafaz al-Ghurbah mempunyai dua makna: pertama, makna yang bersifat jelas seperti seseorang hidup di negeri orang lain (bukan negeri sendiri) sebagai orang asing. Kedua, bersifat maknawi -makna inilah yang dimaksudkan di sini- iaitu bahwa seseorang dalam keistiqamahannya, ibadahnya, berpegang teguh dengan agama dan menghindari fitnah-fitnah yang timbul adalah merupakan orang yang asing di tengah kaum yang tidak memiliki prinsip seperti demikian. Keterasingan ini bersifat relatif sebab terkadang seseorang berasa asing di suatu tempat namun tidak di tempat lainnya, atau pada masa tertentu merasa asing namun pada masa lainnya tidak demikian.

Makna kalimah " bada'al Islamu ghariiban [Islam bermula dalam keadaan asing]" : ia dimulai dengan (terhimpunnya) seorang demi seorang (yang masuk Islam), kemudian mula tersebar dan menampakkan diri, kemudian akan mengalami surut hingga tidak ada lagi yang tinggal selain beberapa orang (yang berpegang teguh kepadanya) sebagaimana keadaan ia bermula.

Makna kalimah " fa tooba lil ghurabaa' [maka berbahagialah bagi kaum ghuraba' (orang-orang yang asing tersebut) ] " : Para ulama berbeza pendapat mengenai makna lafaz tooba . Terdapat beberapa makna, diantaranya: fariha wa qurratu 'ain (berbahagia dan menyejukkan pandangan mata); ni'ma maa lahum (alangkah baiknya apa yang mereka dapatkan); ghibtotan lahum (kegembiraanlah bagi mereka); khairun lahum wa karaamah (kebaikan serta kemuliaanlah bagi mereka); al-Jannah (syurga); syajaratun fil jannah (sebuah pohon di syurga). Semua pendapat ini dimungkinkan maknanya dalam pengertian hadith di atas.

PENGAJARAN HADITH

Hadith di atas menunjukkan betapa besarnya keutamaan para Sahabat Radhiallahu 'anhum yang memeluk agama Islam pada permulaan diutusnya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam kerana sifat mereka yang secocok dgn istilah ghurabaa' itu sendiri. Keterasingan yang mereka alami adalah bersifat maknawi di mana keadaan mereka bertentangan dengan keadaan masyarakat di sekitar mereka yang dipenuhi dengan kesyirikan dan kesesatan

Berpegang teguh kepada Dinullah, beristiqamah dalam menjalankannya serta mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam adalah merupakan sifat seorang mukmin yang sebenar yang mengharapkan pahala sebagaimana yang diraih oleh golongan ghurabaa' tersebut meskipun kebanyakan orang menentang mereka. Yang menjadi kayu ukur adalah sejauh mana kita berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul Sallallahu 'alaihi wasallam, bukan mengikut keadaan persekitaran atau mengikut apa yang dilakukan oleh kebanyakan orang. ALlah Ta'ala berfirman: "Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta." (Surah al-An'am ayat 116)

Kalau kita renung dan lihat sejenak keadaan ummah pada masa sekarang, dan kalau kita faham erti hadis ini dengan sebenar-benarnya, pasti akan bergenangan air mata di kelopak mata kita kerana mengenangkan bagaimana Islam sudah pun menjadi asing sekarang....begitu asing. Sedih kerana Islam, agama kita, menjadi sesuatu yang asing dan sedih kerana Islam sudah kembali ke penghujungnya atau dengan erti kata lain, jangka hayat bumi ini semakin dekat ke penghujungnya. Keterasingan Islam itu sangat ketara, lihat sahaja di negara kita sendiri, tak payahlah kawan nak cerita keterasingan Islam di bumi UK yang diselimuti dengan pelbagai pesona dunia ni, itu dah memang nyata. Tapi yang lebih menyedihkan ialah Islam itu menjadi asing di kalangan umat Islam itu sendiri. Pernah kawan punya kawan bercerita, dia ketika itu, membaca buku berkenaan Harakah Islamiyyah karangan ustaz Fathi Yakan, tak ingat tajuk dia apa. Tempat dia membaca tu , dalam LRT di Malaysia. Sepanjang perjalanan semua mata memandang dia, dengan pandangan yang pelik. Seolah-olah macam tak pernah nampak orang baca buku pasal Islam. Kemudian kita lihat lagi di sekitar kita, dan dari pengalaman kita sendiri, orang akan rasa pelik dan rasa asing, janggal, kalau kita tengah-tengah mesyuarat, nak mintak keluar kejap pergi solat. Orang akan rasa pelik, janggal dan akan rasa sesuatu yang uncommon, kalau kita berkahwin dengan zaujah kita tanpa kita bertelepon telepon, berjumpa-jumpa, berchatting chatting, bercinta-cinta dan sebagainya. Orang akan rasa pelik kalau budak-budak study engineering kat UK, balik malaysia belajar pasal Islam ataupun mengamalkan Islam dalam kehidupan..orang akan expect budak-budak UK jadi lagi moden, lagi sosial tapi bukannya jadi lagi alim. Orang akan rasa pelik kalau anak-anak tak terer cakap English tapi orang tak rasa pelik kalau anak-anak tak terer baca Quran atapun berbahasa Arab. Orang akan rasa pelik kalau kita kata kita tak pernah tengok wayang. Orang akan rasa pelik kalau kita pakai seluar panjang masa main bola tapi orang tak pelik tengok orang Islam pakai seluar pendek main bola. Orang tak rasa pelik kalau tengok wanita-wanita yang tak bertudung jalan-jalan kat supermarket, tapi orang akan rasa pelik kalau tengok muslimah mukminah pakai niqab, pakai purdah atau pakai tudung labuh jalan-jalan kat supermarket. Betapa terasa sangat keterasingan Islam sekarang ni. Kawan nak bawak contoh kat UK takut tak relevan sebab memang mat saleh pandang apa yang orang Islam buat sebagai something yang pelik sebab itu bukan amalan diorang, tapi hati kita akan terkedu, akan terasa sayu bila kita berada dalam kalangan umat Islam tapi masih lagi Islam menjadi asing di situ.

Dalam beberapa riwayat, dinyatakan bahwa makna al-Ghuraba' adalah orang yang baik/lurus di ketika keadaan manusia sekeliling sudah rosak. Juga terdapat makna; mereka adalah orang yang memperbaiki apa yang telah dirosakkan oleh manusia. Ini menunjukkan bahawa kelurusan jiwa semata-mata tidak cukup akan tetapi harus ada upaya yang dilakukan secara bijak, lemah lembut dan penuh kasih sayang dalam memperbaiki keadaan manusia yang sudah rosak agar panggilan ghuraba' yang dipuji dalam hadith diatas dapat ditempelkan kepada seorang mukmin.

Semoga apa yang kawan bawak ni dapat kita jadikan iktibar bersama-sama. Benarlah kata-kata Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, betapa Islam kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula, tapi ingatlah balasan yang Rasulullah janjikan kepada orang-orang yang asing iaitu orang yang teguh mengamalkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah dalam keadaan masyarakat yang penuh dgn fitnah. Tooba lil ghurabaa'. Berbahagialah kepada mereka yang asing. Tegap dan teguhkanlah pendirian dan pegangan kita pada tali ALlah.

Allahu a'lam

Sumber rujukan : hadith.al-islam.com, Sahih Muslim, quran.al-islam.com, alsofwah.or.id

1 comment:

Anonymous said...

Tq krna info berguna. Teruskan perjuangan sampai Islam menang.