Tuesday, August 16, 2005

Aku dan LRT

Semalam kawan berpeluang untuk menikmati pengalaman menumpang lrt di waktu rush hour ketika warga kota berebut menuju ke tempat kerja. Tujuan kawan sekadar berkunjung ke Wisma MCA di Ampang Park untuk memohon visa ke UK, singgah sebentar di KL Sentral untuk bertemu seorang sahabat.

Dari Taman Bahagia, jam 7.15 pagi belum lagi ketara kesesakannya, walaupun kawan tak dapat duduk hingga ke KL Sentral. Biasanya lengang sahaja gerabak dari Taman Bahagia ke KL. Kawan tak merasa hairan sangat. Biasalah, waktu pagi memang busy. Tapi rupanya sepanjang perjalanan, semakin lama semakin sesak. Tu dia, barulah betul namanya rush hour. Sampai di KL Sentral, lega rasanya dapat meloloskan diri dari himpunan manusia yang padat.

Namun cabarannya bermula dari KL Sentral ke Ampang Park. Apabila escalator KL sentral membawa kawan naik ke platform, terlihatlah kawan akan barisan manusia yang beratur menanti LRT yang akan datang beberapa minit lagi. Fuh, hebat rupanya orang Malaysia. Mungkin iklan berbudi bahasa Adlin Aman Ramli berjaya meninggalkan kesan dalam hati mereka, bukan saja dalam LRT malahan ketika menunggu LRT. Kawan pun masuk baris, walaupun terasa sedikit janggal, tapi masuk kandang kambing, kena la mengembek.

Bila LRT sampai, rupanya kepadatannya melampaui jangkaan. Terimbas kembali kenangan belajar di kota London. Setiap hari bersesak-sesak dan berhimpit-himpit menaiki 'tube' atau 'underground' yang beberapa minggu lalu dibom oleh manusia-manusia misteri. Kepadatannya lebih kurang sama dengan di Malaysia. Di sana, menumpang tube sudah menjadi kebiasaan. Lebih-lebih lagi, rumah kawan dan universiti jaraknya agak jauh. Maklumlah, nak save budget. Memang berhimpit sampai tak boleh melangkah. Jadi kena pastikan kedudukan postur badan dan kaki dalam keadaan selesa sepanjang perjalanan yang rata-ratanya tak boleh bergerak sangat. Tambah sesak nafas lagi, tube ni letaknya di bawah tanah. maka pengudaraannya pun tidaklah menyamankan. Berbeza dengan LRT malaysia yang melewati bumbung-bumbung kenderaan di jalan raya. Syabas untuk Malaysia.

Kembali ke KL Sentral.

Akibat kepadatan melampau, dalam berbaris panjang tu, hanya seorang dua saja yang berjaya meloloskan diri dan mengecilkan diri untuk dimuatkan dalam gerabak LRT. Begini rupanya keadaan rush hour yang sebenar. Mungkin patut dinamakan 'cramped hour'. Maka barisan yang semakin panjang itu pun tidak banyak bergerak. Setelah tiga LRT berlalu, maka dapatlah kawan berada di hadapan barisan. Bila LRT yang seterusnya sampai, keluarlah dua tiga penumpang, kawan pun beri laluan. Tiba-tiba, siren pun bunyi tanda pintu nak tutup. Apa lagi, hikmat mcgyver mencelah pintu pun terpaksa diamalkan. Ngam ngam je kawan masuk, pintu pun tutup. Teringat ketika di London, memang biasa mengamalkan hikmat menyelit pintu tube ni. Pernah sekali beg tersepit, mujur hanya beg, bukan tuan punya beg. Kelebihan tube di London, ada pemandunya, maka bolehlah pintu dibuka sedikit untuk melepaskan mereka yang tersepit ketika gagal mengamalkan hikmat menyelit.

Dalam LRT, kawan teringat kembali kenangan di London. Berdiri sepanjang perjalanan, sama saja keadaannya. Cuma yang bagusnya, di Malaysia, penumpangnya seolah-olah sedang menaiki lif. Semuanya tersusun memandang ke pintu. Baguslah. Kalau di sana, berterabur. Jadi kita pun serba salah juga. Takut nanti orang ingat kita stare kat orang.Alhamdulillah, di malaysia semuanya jenis malu-malu, pandang pun ke pintu.

Satu lagi hikmat yang dipelajari semasa pengalaman menumpang tube di london ialah hikmat tidur berdiri. Kawan pun tak percaya ada orang boleh tidur berdiri, hinggalah kawan sendiri yang tidur berdiri. Satu pencapaian yang membanggakan. Amat berguna di waktu-waktu kecemasan. Kawan nampak dalam LRT tu ada juga yang sudah pun khatam hikmat tidur berdiri ni. Rasanya penumpang-penumpang LRT di serata dunia masing-masing cuba mempelajari hikmat ini.

Dalam bersesak-sesak tu, kawan tergelak di dalam hati bila teringat situasi yang sering digambarkan dalam cerita lawak di kaca tv. Bersesak-sesak dalam lif, kemudian ada yang melepaskan 'bom' secara sengaja atau tidak, lantas bersikap baling bom sembunyi tangan. Sepanjang kawan berpengalaman menumpang LRT atau tube, belum pernah terserempak dengan keadaan sebegitu. Walaupun sebenarnya agak sukar meneka siapa pelontar bom dalam keadaan begitu, masing-masing masih menjaga maruah dan mementingkan tahap IPU di dalam LRT. Alhamdulillah

Mungkin kawan masih lagi merindui kesesakan dalam tube di london dan hikmat-hikmat yang dipelajari sepanjang menumpang kenderaan itu. Tapi rasanya, naik kereta tanpa traffic jam di Parit Raja lebih mendamaikan. Cukuplah bersemput-semputan dalam tube tu. Takut nanti satu ketika terserempak pula dengan kes baling bom sembunyi tangan :).

No comments: