Sunday, October 03, 2004

Takut ka?

Dipetik dari berita harian online :

Amerika terus aniaya orang Islam

TINDAKAN pihak berkuasa Amerika Syarikat menghalau bekas penyanyi terkenal Britain yang memeluk Islam, Cat Stevens, daripada memasuki negara itu tidak perlu dihairankan kerana ia bukan kes terpencil.
Beberapa minggu lalu, seorang lagi tokoh cendekiawan Islam, Tariq Ramadan, juga tidak dibenarkan masuk ke negara itu, juga disebabkan namanya – seperti juga Yusuf Islam – berada dalam ‘senarai larangan terbang’ atau ‘senarai pemerhatian.’

Kebetulan pula kejadian berlaku sehari sebelum Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Umno menggesa negara Barat tidak menyalahgunakan istilah keganasan kerana ia hanya meningkatkan prejudis terhadap orang Islam.

Jadi, sebagai langkah persediaan selepas ini, orang Islam tidak kira apapun latar belakang mereka perlu mengunjungi kedutaan Amerika untuk mengesahkan sama ada mereka dibenarkan masuk ke negara itu.
Paling utama ialah mereka perlu pastikan sama ada nama mereka ada atau tidak dalam senarai itu yang berasaskan satu sebab iaitu menghalang kemasukan orang Islam yang disyaki ada hubungan dengan keganasan atau pergerakan pengganas.

Mereka juga perlu memastikan ejaan nama yang betul juga berdasarkan penjelasan pihak berkuasa Amerika bahawa kesilapan ejaan dalam senarai berkenaan adalah punca pesawat yang membawa Yusuf Islam diarah mendarat di tempat lain.

Amerika mengeja nama baru Cat Stevens itu sebagai ‘Youssof’ dan bukan ‘Yusuf’ seperti dalam pasportnya.
Reaksi pelbagai pihak pada umumnya menunjukkan masyarakat dunia termasuk di Amerika sendiri terkejut dan tidak menyangka sama sekali Yusuf Islam atau Cat Stevens juga berpotensi mengancam negara kuasa besar itu.

Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR), Nihad Awad, berkata: “Apabila personaliti Islam yang dihormati antarabangsa seperti Yusuf Islam dihalang masuk ke Amerika, ia memberi mesej membimbangkan iaitu Muslim berhaluan sederhana juga dilayan seperti pengganas.”

Seperti juga kempen ketenteraannya di Iraq, Amerika terus gagal untuk memenangi ‘hati dan minda’ penduduk Islam di seluruh dunia terbukti dengan dasar diskriminasi itu digunakan terhadap bekas penyanyi itu.

Yusuf dan anak perempuannya, Maymanah, adalah antara 249 penumpang pesawat United Airlines yang diarah mendarat di Bangor, Maine, lebih 1,000 kilometer jauhnya daripada destinasi penerbangan itu.
“Tiba-tiba saya dikepung ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menyoal siasat saya. Satu-satunya perkara positif yang boleh saya kata ialah ramai anggota keselamatan gembira mendapat autograf saya,” kata Yusuf kepada akhbar The Guardian selepas kembali ke tanah airnya.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negara Amerika, Garrison Courteney, enggan memberitahu sebab Yusuf ada dalam senarai itu tetapi mendakwa ia ada kaitan dengan maklumat perisikan yang dikumpul sejak Mei lalu.

“Apabila seseorang itu diletakkan dalam senarai larangan terbang, ia dibuat selepas melalui banyak proses. Ia bukan keputusan mudah. Nama diletakkan dalam senarai itu kerana individu itu mengancam keselamatan industri pesawat,” katanya.

Apapun, tindakan ke atas Yusuf mungkin ada kena mengena dengan langkah Israel tidak membenarkannya memasuki negara itu pada 2000 atas dakwaan memberi derma kepada Hamas sekalipun personaliti itu menekankan dia tidak tahu identiti penerima dermanya.

Agensi berita The Associated Press (AP) memetik kata-kata seorang pegawai Amerika bahawa sumbangan Yusuf itu mungkin digunakan oleh Hamas dan lelaki Mesir yang didapati bersalah merancang keganasan di New York pada 1995, Sheikh Omar Abdel Rahman.

Tetapi, dia tidak dapat mengesahkan sama ada Yusuf tahu dermanya diterima pihak berkenaan.
Nasib yang sama menimpa Tariq Ramadan. Tokoh cendekiawan Islam di Britain yang dianggap berhaluan sederhana itu tidak dapat memulakan tugas pensyarah di Universiti Notre Dame, Indiana selepas pihak berkuasa Amerika menarik balik visanya.

Tariq ditawarkan jawatan Profesor mengenai agama, konflik dan membina keamanan di universiti berkenaan di Indiana.

Penulis bebas dan pemerhati politik Amerika, Kurt Nimmo, mungkin paling jelas dalam penerangannya mengenai sebab dan tujuan personaliti Islam yang dihormati juga menjadi mangsa dasar Rumah Putih.
Nimmo adalah penulis buku Another Day in the Empire: Life in Neoconservative America. Dalam surat terbukanya yang disiarkan di laman web, pressaction.com, Nimmo menyifatkan tindakan ke atas Yusuf Islam sebagai usaha ‘merampas’ senarai penumpang pesawat komersial serta menunjukkan seorang Muslim terkenal dan aktivis keamanan itu pengganas yang menyokong Hamas.

Katanya, jika pentadbiran Presiden George W Bush dimaklumkan senarai penumpang yang dimasukkan dalam satu sistem pangkalan data, lebih ramai orang akan sukar bergerak atas aktiviti agama dan politik. – Agensi

--------------------------------

yusuf islam dgn tariq ramadan pun takut? lepas ni sapa2 yang berjanggut berjubah pun ntah2 tokleh masuk US. Power betul org Islam ni...tidak syak lagi. Tak buat apa2 pun orang dah takut. Kasik ceramah skit2 pun US takut. Tu baru kasik ceramah tu. Belum lead tentera jihad Afghan ke Chechnya ke. Dah la tu, macam tu punya besor negara, takut kat sorang je manusia yg bernama Yusuf Islam. Ish ish ish. Yusuf Islam kasik derma tokleh, US kasik derma kat Israel boleh pulak. Macam2 la alasan. Takut bayang2 sendiri la tu.

No comments: