Sunday, August 28, 2005

Lagi artikel berkenaan dakwah

Search search lagi, jumpa lagi artikel menarik di laman web http://www.jim.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=139

-------------------------------------

DAKWAH UNTUK CEMERLANG BUKAN UNTUK GAGAL
Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin,

Berdakwah adalah wajib bagi lelaki dan wanita dan tidak akan ada kecemerlangan bagi umat tanpa dakwah. Dalam surah At-Taubah ayat 71 Allah berfirman, “Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.” Dakwah adalah sebahagian daripada jihad. Dakwah bermaksud mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.




Imam Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan lisannya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.”

Ketika mencegah kemungkaran kadar minimum yang dituntut ialah mengingkari dengan hati. Dalam kitab Dalilul Falihin telah disebutkan, “Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan jika seseorang mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang reda dengan mungkar bererti dia bersekongkol dengannya.”

Sebahagian umat Islam pada hari ini memejamkan mata mereka dari kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakat. Lorong hidup mereka hanya menghubungkan mereka kepada rumah dan tempat kerja sahaja. Di tempat kerja pula mereka hanya menjadi pak turut walaupun dalam perkara yang jelas bercanggah dengan Islam. Mereka berpegang kepada konsep ‘kubur kamu, kamu jaga dan kubur aku, aku yang jaga.’ Sahabat Talhah bin Ubaidillah pernah berkata, “Cukuplah menjadi keaiban pada seseorang jika dia sekadar duduk diam di rumahnya sahaja.” Perkara ini disebutkan di dalam Tabaqat ibn Saad.

Mereka yang meninggalkan dakwah tidak akan cemerlang kerana azab Allah akhirnya akan menimpa mereka. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Demi Allah hendaklah kamu mengajak kepada makruf dan hendaklah kamu mencegah kemungkaran dan jika ini tidak dilakukan akan datanglah kepadamu balasan berbentuk seksaan daripada Allah dalam masa yang terdekat dan ketika itu kamu semua akan berdoa sedangkan Allah tidak akan mengabulkan doa-doa kamu.” Hadis ini bertaraf hasan.

Awasi Pendakwah Dari Pintu Neraka

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis dari Huzaifah bin Yaman yang bermaksud, “Aku (Huzaifah) bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dahulunya berada dalam jahiliah dan kejahatan maka Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah selepas ini akan ada kejahatan?’ Nabi menjawab, ‘Ya’. Aku bertanya lagi, ‘Apakah selepas kejahatan itu akan datang pula kebaikan?’ Nabi menjawab, ‘Ya, tetapi akan ada bersamanya dakhnun (asap).’ Aku bertanya lagi, ‘Apakah asap itu ya Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Golongan yang tidak lagi mengikut landasan sunnahku dan mereka tidak menggunakan petunjuk yang aku bawa. Kamu akan mengenali dan mengingkari mereka’. Aku seterusnya bertanya, ‘Apakah selepas kebaikan ini akan ada pula kejahatan?’ Nabi bersabda, ‘Ya, akan datang pendakwah-pendakwah di pintu neraka. Sesiapa yang mengikut mereka akan dicampakkan ke dalamnya.” As-Syeikh Said Hawa dalam Al-Madkhal Ila Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimin mengaitkan hadis ini dengan zaman kita sekarang. Beliau berkata, “Marhalah dakhnun atau ‘asap’ berterusan hingga ke zaman kita hari ini dan era kita sekarang ialah era lahirnya pendakwah-pendakwah di pintu neraka.”

Salah satu aliran yang sedang menyerang dunia hari ini ialah Islam Liberal. Aliran ini menghendaki Islam ditafsirkan secara yang lebih terbuka dan bebas tanpa terikat kepada manhaj atau landasan yang bawa oleh nabi dan ulama salafusaleh. Antara ciri yang terdapat pada aliran ini ialah:

· Kesamaan agama. Islam adalah agama yang benar tetapi agama lain yang mengajar konsep ketuhanan dan kebaikan juga adalah benar.

· Tafsiran Al-Quran perlu bebas. Wahyu mempunyai dua kategori iaitu yang bertulis dan tidak bertulis. Wahyu yang tidak bertulis ialah akal, justeru akal perlu dibebaskan untuk mentafsir Al-Quran.

· Nabi manusia biasa. Nabi adalah manusia biasa yang boleh tersilap justeru baginda boleh dikritik. Sunah nabi hanya relevan untuk masyarakat Arab di zaman dahulu. Mukjizat nabi hanyalah cerita rekaan manusia yang kemudiannya diagung-agungkan.

· Hadis tidak lagi relevan. Hadis-hadis tidak berasal dari nabi. Ia hanyalah ciptaan orang-orang yang ada kepentingan. Hadis yang benar hanyalah yang bertaraf mutawatir. Namun kebenarannya hanya sesuai untuk diamalkan oleh orang Arab pada zaman nabi. Hadis-hadis yang berkaitan dengan alam ghaib seperti azab kubur dan israk-mikraj hanyalah cerita rekaan yang dibuat oleh perawi-perawi hadis.

Antara pelopor Islam Liberal yang terkenal di Timur Tengah ialah Rifaat Bik Al-Tantawi, Taha Husein, Ali Abdul Raziq, Mahmud Abu Rayya dan Ahmad Amin. Di Indonesia pula mereka ialah Harun Nasution, Nurcholis Majid dan Nasaruddin Umar. Pada hari ini terdapat wanita yang ingin menjadi khatib dan imam pada hari Jumaat sedangkan Allah, dengan kasih sayangnya, tidak mewajibkan solat Jumaat bagi wanita agar kaum wanita dapat memberikan fokus kepada perkara lain yang penting. Inilah antara cabaran bagi umat di akhir zaman. Agama hendak diubah, cara amalan nabi dan sahabat mahu dicabar....

Oleh sebab kecemerlangan tidak dapat dipisahkan dari kebenaran, berdakwah bertujuan untuk menegakkan kebenaran di penjuru masing-masing mendekatkan kita kepada rahmat Allah. Dengan itu kehidupan kita menjadi sejahtera.

No comments: